9 Februari 2026 – Telah berlangsung dengan jayanya Majlis Penyerahan Kenderaan dan Jentera Baharu JKR Negeri Selangor bagi Tahun 2026 serta Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Kontrak Jangka Panjang Penyelenggaraan Jalan-Jalan Negeri Selangor bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Majlis ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Ir. Izham bin Hashim, EXCO Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, sebagai manifestasi komitmen berterusan Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan infrastruktur demi kesejahteraan rakyat.
Sebanyak 12 unit aset dan jentera baharu bernilai kira-kira RM3 juta telah diserahkan kepada JKR Daerah, melibatkan antaranya excavator, backhoe loader, lori skylift, lori tipper dan kenderaan sokongan. Penggantian aset uzur ini bertujuan meningkatkan kecekapan operasi, mempercepat masa tindak balas terhadap aduan rakyat serta menjamin keselamatan warga kerja JKR di lapangan.
Pada majlis yang sama, turut diserahkan SST Kontrak Jangka Panjang Penyelenggaraan Jalan-Jalan Negeri Selangor (2026–2030) bernilai RM125 juta, kepada Infrasel Sdn Bhd.
JKR Selangor komited untuk melaksanakan amanah ini dengan penuh integriti, profesionalisme dan kebertanggungjawaban demi memastikan keselamatan, keselesaan serta kesejahteraan pengguna jalan raya di seluruh Negeri Selangor terus terpelihara.
Selangor Maju, Infrastruktur Diperkasa, Rakyat Sejahtera.