WAJAH BAHARU KELAB SULTAN SULAIMAN, WARISAN TERUS DIPELIHAR
KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2026 – Majlis Serahan Projek Kerja-Kerja Pembaikan dan Naik Taraf Bangunan Replika dan Bangunan Kelab Sultan Sulaiman, Kampong Bharu, Kuala Lumpur telah disempurnakan oleh YB Dato’ Dr. Ahmad Fadzli bin Ahmad Tajuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.
Pengarah JKR Negeri Selangor, Ir. Hj. Shukri bin Ishak, dalam ucapan beliau menekankan bahawa pelaksanaan projek ini bertujuan meningkatkan keselamatan, keselesaan dan kefungsian bangunan, di samping mengekalkan identiti serta nilai warisan Kelab Sultan Sulaiman.
Projek dengan kos kontrak semasa kira-kira RM7.2 juta ini merangkumi kerja pembaikan dan naik taraf komponen sivil dan struktur, seni bina, elektrik serta mekanikal. Antara ruang yang ditambah baik ialah Dewan Sultan Sulaiman, Serambi Sri Selangor, Anjung Sri Selangor, bilik persidangan, perpustakaan PPAS, surau, tandas serta Bangunan Replika.
Dilaksanakan oleh Bakti Suci Sdn. Bhd., projek ini bermula pada 3 Februari 2026 dan berjaya disiapkan pada 12 September 2026.
Penghargaan dirakamkan kepada Kerajaan Negeri Selangor, pasukan JKR Negeri Selangor dan JKR Gombak, PADAT, PPAS, TNB, DBKL serta semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan projek ini.
Semoga kemudahan yang ditambah baik dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat dan diselenggara secara berterusan agar warisan Kelab Sultan Sulaiman terus terpelihara untuk generasi akan datang.








