BM | EN
Berita Semasa

Sesi Perjumpaan Awam Bersama Agensi Berkaitan dan Wakil Penduduk Berkaitan Isu Trafik di Persimpangan Alam Budiman

SESI PERJUMPAAN AWAM BERSAMA AGENSI BERKAITAN DAN WAKIL PENDUDUK BERKAITAN ISU TRAFIK DI PERSIMPANGAN ALAM BUDIMAN, PERSIARAN MOKHTAR DAHARI (B49)

LOKASI : Dewan MBSA Lili, Taman Alam Budiman, U10

TARIKH : 21hb Jun 2026

Satu sesi perjumpaan awam bersama penduduk telah diadakan pada 21hb Jun 2026 bertempat di Dewan MBSA Lili, Taman Alam Budiman, U10 bagi menyediakan platform komunikasi dua hala antara pihak kerajaan negeri dan komuniti setempat.

Sesi ini dianjurkan oleh Pejabat EXCO Belia, Sukan & Keusahawanan merangkap ADUN Kota Anggerik, YB Tuan Mohd Najwan Bin Halimi dengan penglibatan wakil agensi teknikal (JKR Selangor dan MBSA), wakil EXCO Infrastruktur & Pertanian, Kumpulan Semesta Sdn Bhd selaku kontraktor penyelenggaraan Jalan Negeri, Persatuan Penduduk serta penduduk setempat. Sesi ini bertujuan untuk mendengar secara langsung pandangan, aduan serta cadangan daripada penduduk berkaitan isu trafik di Persimpangan Alam Budiman, Persiaran Mokhtar Dahari (B49).

Sesi ini telah dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh Ir. Hj. Shukri Bin Ishak, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor dan disusuli dengan pembentangan oleh Ir. Paschal Dagang Anak Kevin Akeu, Jurutera Daerah Petaling. Antara isu utama yang dibicarakan adalah keadaan persimpangan jalan keluar/masuk ke Alam Budiman yang memerlukan kerja naik taraf, masalah trafik di Persiaran Pulau Lumut serta kegusaran penduduk terhadap kekerapan kemalangan yang berlaku di persimpangan utama.

Pihak JKR Selangor dan MBSA selaku agensi teknikal telah mengambil maklum dan beberapa tindakan akan diambil dalam masa terdekat, termasuk pelaksanaan kerja pembaikan island jalan, cadangan penambahan satu (1) lorong terus sepanjang 300meter dan penambahan perabot jalan di Persiaran Pulau Lumut.

Selain itu, pihak KSSB juga akan melaksanakan rutin penyelenggaraan berkala secara berterusan bagi meningkatkan kualiti dan aspek keselamatan di Persiaran Mokhtar Dahari (B49)

Secara keseluruhannya, sesi perjumpaan awam ini berjaya mencapai objektif sebagai medium penyampaian maklumat dan platform interaksi berkesan antara pihak kerajaan negeri dan rakyat. Semua isu yang dibangkitkan akan diteliti dan tindakan susulan akan diselaraskan bersama agensi berkaitan.

Pihak JKR Selangor sentiasa komited untuk memastikan kesejahteraan dan keselesaan penduduk melalui penyampaian perkhidmatan yang cekap, responsif dan berterusan.
Skip to content