
Pada 6 Mei 2025 (Selasa), Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) telah menganjurkan Sesi Libat Urus Draf Pelan Strategik JKR Malaysia 2026-2030 Siri 1/2025 di Bilik Mesyuarat Tanjung, Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor.
Program yang dikendalikan oleh Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi (BPPP), CDPK ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Pengarah CDPK selaku Setiausaha Pelan Strategik JKR. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh beliau dan disusuli dengan penyampaian sijil penghargaan kepada tuan rumah program, Tn. Ir. Hj. Shukri bin Ishak, Pengarah JKR Selangor di atas kerjasama JKR Negeri Selangor dalam menjayakan program ini.
Sesi ini diadakan dengan tujuan untuk memantapkan lagi draf Pelan Strategik yang telah dirangka sejak tahun 2024. Pendekatan libat urus secara menyeluruh ini memberikan ruang kepada pengumpulan input secara langsung (on-the-ground) bagi mendapatkan pandangan yang bernas dan konstruktif (membina) daripada pelbagai lapisan Pengurusan dan Profesional serta kumpulan pelaksana.
Seramai lima (5) pembentang yang mewakili lima (5) tema dalam Pelan Strategik JKR telah membentangkan hala tuju tema masing-masing bagi tempoh lima (5) tahun akan datang (2026 – 2030) seperti berikut: –
Tema 1: Ir. Mukhzani Bin Abd Latif – Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu
Tema 2: Puan Nor Haziah Binti Saliman – Cawangan Kerja Bangunan Am 1
Tema 3: Puan Chew Ying Ying – Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur
Tema 4: Puan Syariza Binti Mohammad Azidin – Cawangan Arkitek
Tema 5: Ir.Ts. Dr. Tuan Suhaimi Bin Salleh – Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE)
Program tersebut yang telah diadakan secara hibrid yang turut disertai oleh semua Pengarah, Jurutera Daerah dan pegawai-pegawai ibu pejabat JKR, Wilayah Tengah dan Utara Semenanjung Malaysia.
Sesi Libat Urus Draf Pelan Strategik JKR Malaysia 2026-2030 (Siri 2) bagi lain-lain wilayah akan diadakan di JKR Negeri Johor secara hibrid pada 12 Jun 2025 (Khamis) .
Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan komitmen dalam menjayakan program ini. Semoga dapatan sesi libat urus ini dapat membantu Jabatan dalam merangka bentuk tindakan yang sistematik dan sejajar dengan inisiatif-inisiatif yang berimpak tinggi sepertimana dalam Pelan Strategik JKR 2026 – 2030 bagi memacu penyampaian perkhidmatan terbaik Jabatan.