PROGRAM GAGASAN RUMPUN SELANGOR 2.0 PERINGKAT DAERAH SABAK BERNAM
Program Gagasan Rumpun Selangor 2.0 Peringkat Daerah Sabak Bernam telah berlangsung pada 3 hingga 4 Jun 2026. Menjunjung kasih atas perkenan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang telah mencemar duli serta menyantuni rakyat di Daerah Sabak Bernam.
Pengarah JKR Negeri Selangor, Ir. Hj. Shukri bin Ishak, turut menyertai pelbagai pengisian sepanjang Program Gagasan Rumpun Selangor 2.0 Peringkat Daerah Sabak Bernam. Penglibatan beliau termasuk dalam sesi lawatan rasmi bersama DYTM Raja Muda Selangor ke beberapa lokasi program serta majlis-majlis utama yang diadakan sepanjang program berlangsung.
Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj perkenan untuk merasmikan Bangunan Baharu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam. Pengarah JKR Negeri Selangor, Ir. Hj. Shukri bin Ishak, telah menyampaikan sembah taklimat berkaitan projek pembinaan Bangunan Baharu PPD Sabak Bernam kepada DYTM Raja Muda Selangor dan para tetamu kehormat.
Taklimat tersebut merangkumi pelaksanaan projek, skop pembangunan serta manfaat kemudahan baharu yang bakal meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan pendidikan kepada masyarakat setempat. Kehadiran dan penglibatan JKR Negeri Selangor dalam program ini mencerminkan komitmen jabatan dalam memastikan setiap projek pembangunan infrastruktur dilaksanakan dengan cekap, berkualiti dan memberi impak positif kepada rakyat.
JKR Negeri Selangor akan terus mendukung aspirasi Kerajaan Negeri Selangor dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur yang mampan demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negeri.