SHAH ALAM, 2 Julai 2025 – Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor telah menganjurkan Majlis Perhimpunan Bulanan Bil. 3/2025 bertemakan “Wadah Integriti” bertempat di Dewan Seroja, Kompleks Ibu Pejabat JKR Negeri Selangor. Program ini telah menghimpunkan hampir 250 orang warga kerja JKR Selangor dalam usaha memperkukuh budaya kerja berintegriti dan bebas rasuah.
Majlis ini turut diserikan dengan kehadiran YBrs. TPj Tuan Hairuzam bin Mohmad Amin @ Hamim, Pengarah SPRM Negeri Selangor sebagai tetamu utama, serta YBrs. Ir. Haji Shukri bin Ishak, Pengarah JKR Negeri Selangor serta Pengurusan tertinggi JKR Selangor.

Dalam ucapan perasmian, Pengarah JKR Negeri Selangor menekankan kepentingan pengukuhan nilai integriti dalam organisasi teknikal utama kerajaan, manakala Pengarah SPRM Selangor pula menyeru penjawat awam agar sentiasa menghindari salah guna kuasa dan rasuah.
Kemuncak majlis adalah sesi Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) oleh seluruh warga JKR Selangor dengan bimbingan SPRM, sebagai simbol komitmen terhadap budaya kerja yang telus dan beretika. Turut diadakan, penyampaian sijil penghargaan kepada SPRM Negeri Selangor sebagai tanda penghargaan atas dukungan terhadap usaha memperkasa integriti jabatan.

Majlis ini juga merupakan sebahagian daripada inisiatif pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (SPAR) JKR Selangor yang menekankan pendekatan pencegahan secara sistematik, pembudayaan integriti dan kawalan dalaman yang mantap dalam setiap proses kerja jabatan.

Acara diteruskan dengan slot Bicara Integriti bertajuk “Mesej Dari Penjara” yang disampaikan oleh Encik Ardiansyah bin Malmod, Penguasa Penjara, Penjara Sungai Buloh. Sesi ini memberi kesan mendalam kepada para peserta mengenai realiti hukuman serta akibat perbuatan rasuah dan jenayah dalam kehidupan seharian.
Program seperti ini mencerminkan iltizam berterusan JKR Selangor dalam mendokong dasar kerajaan ke arah perkhidmatan awam yang sifar rasuah, berintegriti dan berprestasi tinggi.