Majlis Perasmian Kompleks Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor
5 Mei 2026 (Selasa) – Majlis bersejarah ini disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang berkenan mencemar duli merasmikan kompleks baharu serta melancarkan Gagasan Rumpun Selangor (GRS) 2.0 bagi Daerah Petaling.
Kompleks yang dibangunkan dengan kos RM36 juta ini menjadi simbol komitmen Kerajaan Negeri dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan infrastruktur awam. Dilengkapi kemudahan moden seperti dewan, bilik mesyuarat, makmal komputer, surau serta parkir berbumbung solar, ia juga menekankan elemen pembangunan lestari dan teknologi hijau.
Penggunaan tenaga solar di kompleks ini telah berjaya menjana penjimatan bil elektrik sebanyak RM128,000 pada tahun 2025, selaras dengan aspirasi negeri ke arah pengurangan jejak karbon.
Dalam ucapan oleh YAB Amirudin Shari, beliau menzahirkan penghargaan terhadap peranan penting JKR Selangor dalam melaksanakan projek pembangunan, penyelenggaraan fasiliti kerajaan serta pengurusan bencana. Antara pencapaian membanggakan termasuk pembinaan tiang bendera tertinggi di Asia Tenggara yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
Majlis turut menyaksikan pelancaran Gagasan Rumpun Selangor 2.0 yang memberi fokus kepada pembangunan komuniti melalui projek infrastruktur sebagai “Projek Angkat”, bertujuan memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Sebagai simbolik perasmian, DYTM Raja Muda Selangor berkenan menandatangani plak perasmian serta menyempurnakan gimik penanaman pokok di perkarangan kompleks, di samping melawat Bengkel Kenderaan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal.