Shah Alam, 29 Julai 2025 – Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor dengan penuh semangat patriotik telah melancarkan Sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-68 bertempat di Dewan Anggerik Kompleks Ibu Pejabat JKR Selangor. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YBrs. Tn. Ir. Hj. Shukri bin Ishak – Pengarah JKR Selangor, mengiringi pengarah En. Mat Amir bin Yaacob – Jurutera Mekanikal Kanan, JKR TUDM Subang selaku Penyelaras Program dan Ir. Mohd Asri bin Md Isa – Jurutera Awam Penguasa, Bahagian Jalan selaku Pengurus Kontinjen Kawad Kemerdekaan JKR Selangor serta ketua-ketua Bahagian, Jurutera – Jurutera Daerah serta kakitangan JKR Selangor.
Sambutan pada tahun ini membawa tema “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, selaras dengan aspirasi kerajaan dalam membentuk masyarakat berintegriti, bersatu padu dan berdaya saing.
Pelancaran sambutan dimulakan dengan penyampaian amanat kemerdekaan oleh Pengarah JKR Selangor. Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya semangat cintakan negara dalam kalangan warga JKR sebagai penjawat awam yang berperanan penting dalam pembangunan infrastruktur negara. Semua warga JKR Selangor diseru agar menghayati erti sebenar kemerdekaan, dan meneruskan legasi kecemerlangan perkhidmatan awam demi kemajuan negara.
Majlis turut diserikan dengan upacara penyerahan Sijil Pelantikan Pengurus Pasukan Kontinjen Kawad Kemerdekaan peringkat Negeri Selangor yang berlangsung pada malam 30 Ogos 2025 serta penyerahan Jalur Gemilang kepada Bahagian dan Daerah JKR Selangor.
Penganjuran program ini adalah usaha berterusan JKR Selangor dalam memupuk semangat nasionalisme, memperingati jasa pejuang kemerdekaan dan mengukuhkan nilai perpaduan dalam kalangan kakitangan.
Selamat Menyambut Bulan Kemerdekaan Ke-68 : “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”

