KUNJUNGAN HORMAT PANGLIMA 11 BRIGED KE ATAS PENGARAH JKR NEGERI SELANGOR – PERKUKUH INTEGRASI BERSAMA JABATAN TEKNIKAL NEGERI
15 April 2026 – Brigedier Jeneral Dato’ Pahlawan Safwan @ Asri bin Ismail, Panglima 11 Briged telah mengadakan Kunjungan Hormat ke atas Tuan Ir. Haji Shukri bin Ishak, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor di Kompleks Ibu Pejabat JKR Negeri Selangor, Shah Alam.
Sebagai pengisian awal, Panglima 11 Briged telah dibawa melawat ke Bilik AKRAB JKR Selangor sebelum sesi perbincangan rasmi berlangsung. Pertemuan ini merupakan platform diplomasi antara agensi dalam usaha memperkukuh kerjasama strategik, khususnya melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur Markas Angkatan Tentera serta potensi kolaborasi bersama JKR di Negeri Selangor.
Turut hadir ialah Lt. Aminur Aizat bin Khairul Izan, Pegawai PS 3 Log.
Melalui pertemuan ini, JKR Negeri Selangor menzahirkan komitmen berterusan untuk memberikan kerjasama penuh dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek infrastruktur fasiliti di Kem Sungai Buloh. Di samping itu, perancangan jangka panjang ke arah pemerkasaan fasiliti serta kesejahteraan warga turut diberi perhatian, selaras dengan usaha mendokong tahap kesiagaan Briged dan aspirasi “Siaga dan Terampil.”